Nama Bukit : Bukit Wawasan
Ketinggian : 233M
Tarikh : 20/01/2018
Bukit Wawasan Puchong Selangor merupakan lokasi yang menarik untuk meluangkan masa beriadah bersama keluarga atau rakan-rakan di hujung minggu. Ketinggian hanya 233 meter menjadikan puncak bukit mudah untuk didaki. Mengambil masa dalam sekitar 45 minit – 1 jam untuk sampai ke puncak. Bergantung kepada stamina masing-masing.
Boleh Google atau Waze sahaja Bukit Wawasan Puchong Trekking maka akan sampai terus ke tempat letak kereta. Sebaiknya datang awal kerana parking biasanya penuh terutama pada hujung minggu.
Kalau diikutkan akan ada banyak cabang semasa mendaki. Sila pilih Entrance A. Jika tidak pasti bolehlah bertanya pada pendaki yang naik di sini. Biasanya memang ramai je yang naik pada hujung minggu.
Mendaki bersama Acap, Yatie dan Shima
Laluan tidak terlalu sukar. Ada bahagian naik dan turun. Tidak mengambil masa yang lama untuk sampai ke puncak. Ada beberapa laluan yang agak licin. Terutama pada musim hujan. Waktu kami naik tu trek agak lembab. Jadi perlu lebih berhati-hati.
Terdapat beberapa kawasan lapang untuk berehat sebentar. Jika ingin ke Air Terjun, guna laluan A2 semasa di puncak. Jalan terus menurun sehingga jumpa satu jalan besar dan ada papan tanda UPM. Kemudian, ambil laluan jalan utama ke kiri dan jalan terus.
Kalau diikutkan, perjalanan ambil masa dalam 30 – 45 minit juga untuk ke sini. Lokasi air terjun ini pula perlu turun ke bawah dari jalan utama. Tiada papan tanda cuma akan dengar bunyi air terjun. Acik lin dan sahabat berhenti rehat di sini. Rakan-rakan lain berendam. Acik lin merayau-rayau di tepi air terjun sambil merakam gambar unggas kecil di sini.


Waktu balik tu kami singgah minum air kelapa. Jika hendak ke sini pastikan jangan tersilap entrance kerana ada beberapa cabang laluan.
Jumpa lagi di post yang lain 🙂
