Air Terjun Kanching ialah air terjun 7 tingkat yang dinamakan sempena nama pokok ‘endemik’. Antaranya Lata Bembam, Lata Terentang, Lata Kapur, Lata Tembusu, Lata Gapis dan Lata Bayas. Air Terjun ni terletak di dalam Hutan Lipur Kanching, Rawang seluas 470 hektar. Ia merupakan air terjun yang popular di sekitar Selangor dan KL kerana keunikan air terjun 7 tingkatnya. Nama ‘Kanching’ itu berasal dari nama sejenis pokok yang dinamakan ‘Giam Kanching’ .

Giam Kanching merupakan khazanah bumi negara yang hanya tumbuh di negara kita dalam satu kelompok kecil di sebuah hutan di Selangor. Pokok ini tidak terdapat di negara-negara lain, dan bilangannya yang kecil, menjadikannya di antara spesis flora dunia yang terancam.

Menurut FRIM, spesies ini bersifat endemik yang bermaksud hanya ditemui di satu habitat, iaitu di Hutan Simpan Kanching, Selangor dan dikelaskan sebagai spesies terancam tahap kritikal di sebabkan taburannya yang terhad. Kepada pencinta air terjun dan alam semulajadi, jangan lepaskan peluang berkunjung ke sini.

Lokasi ni 5 minit je dari rumah acik lin. Post kali ni acik akan share keunikan air terjun di sini di sepanjang pendakian ke Level 7 Air Terjun Kanching 🙂

Selain dari itu, sungai yang cetek serta kurang berbatu sangat sesuai untuk aktiviti berenang terutamanya bagi anak-anak kecil. Kemudahan seperti tandas, surau dan tempat persalinan pakaian antara keistimewaan dan kemudahan lain turut disediakan di sini.

Pintu gerbang ke Hutan Kanching. Sebelum tu buat bayaran tiket masuk RM1 untuk dewasa. Kanak-kanak PERCUMA. Parking RM2. Jika parking sebelah kawasan perumahan tu free je. Memang disediakan khas untuk pengunjung.

Map Air Terjun Kanching

Kemudian jumpa laluan tangga konkrit ni. Jika ambil susur kanan tu akan tembus ke Level 1, Lata Bembam. Ramai pengunjung terlepas kawasan ni sebab mereka naik terus ke atas gunakan laluan tangga batu.

Inilah level 1 yang diberi nama Lata Bembam. Lokasinya agak tersembunyi sedikit. Lebih kurang 10 minit dari pintu masuk.

Dalam 5 minit berjalan kita akan jumpa pula level 2 iaitu Lata Terentang. Ia berbentuk air terjun kembar dan bertakung seperti kolam. Di sini ada beberapa buah pondok rehat.

Jika ambil laluan ni, kena naik tangga nak ke level 3, Lata Kapur.

Level 3 ni ramai pengunjung berkumpul dan mandi manda. Ini kerana ruangnya yang lebih luas dan air terjun yang sangat cantik.

Biasanya ramai bbq kat area sini. Weekday lebih tenang. Jika hujung minggu tu memang sesak dengan pengunjung. Oh ya, hati-hati jika bawa beg plastik atau makanan. Di sini cik nyet pantang nampak plastik. Beg pun kadang diaorang angkut. Acik standby ranting kayu. Agak-agak diaorg dekat je halakan ranting tu ke muka. Biasanya mereka akan lari, takut tercucuk mata la tu :p

Ada yang memerhati. Jaga-jaga naaa

Nak ke level 4 pula kena memanjat tangga. Level ni pun biasa ramai je mandi manda. Kalau datang dengan family, biasanya acik lin lepak area sini je. Kalau level atas lagi nak kena mendaki dan laluan agak curam.

Seterusnya untuk ke level 5 Lata Tembusu, kita kena memanjat tangga lagi. Kat sini memang banyak main tangga je. Bagus la untuk training. Kemudian kita akan melalui kawasan pokok kayu berakar. Jika bawa anak sulung dan kedua acik naik sampai level 5.

Taraaa! ni la laluan sebelum ke level 5. Ramai juga yang naik sampai sini. Hari biasa elakkan naik jika tak ada geng. Atas faktor keselamatan sebab ada kes kena samun di tingkat 6-7. Kawasan pun agak sunyi.

Lalu denai dalam 5 minit akan tiba ke level 5.

Acik lin belanja gambar air terjun level 5, Lata Gapis. Jika pergi weekday kami naik sampai sini je. Air pun dalam sikit kalau nak berendam. Lagipun tak ramai naik sampai sini. Privacy sikit. Kebanyakan yang datang dengan family akan lepak kat level 2-4.

Jika naik berkumpulan bolehlah lajak ke level 6. Sini jarang orang mandi tapi lebih pada layan view. Sumpah cantik!

Jika nak view lebih cantik, bolehlah naik ke atas lagi. Di sinilah cabaran bermula setelah meredah laluan tangga di level bawah. Laluan berakar, sedikit berbatu dan agak licin. Hati-hati bila mendaki. Ada bahagian kena memaut tali.

 

Setelah naik sekitar 15minit kita akan sampai ke level 7 iaitu Lata Bayas. Di sini batuan coklat tu agak licin. Ada kes pelajar patah tulang sebab tergelincir masa memijak batuan. Orang yang dah biasa naik memang tahu risiko ni, risau anak-anak muda ni kadang terlalu excited tak fikir bab keselamatan huhu

Lepas turun bawah ni bolehlah bawa anak-anak buat aktiviti padang. Bawa la bola ke badminton main kat kawasan padang yang luas ni 🙂

Itu sajalah perkongsian mengenai Hutan Lipur Kanching. Insyallah berbaloi datang ke sini untuk riadah bersama rakan dan keluarga.

Sebarang Pertanyaan Hubungi:

Pejabat Hutan Daerah Hulu Selangor, Jalan RP4/1, Kompleks Kerajaan ,
Rawang Perdana, 48000 Rawang, Selangor.
Tel: 603 – 6091 6131
Faks: 603 – 6091 7533

Jumpa lagi! 🙂