Nama Gunung : Gunung Bunga Buah

Ketinggian : 1430M

Tarikh : 17/09/2018

Penulis dan rakan merancang untuk mendaki ke Gunung Bunga Buah. Ekspedisi ini di ketuai oleh En Lan memandangkan beliau dan isteri pernah naik ke sini. 2 rakan baru turut sertai trip ni. Kami 6 orang kesemuanya. Perjalanan lebih kurang 4 jam naik dan 4 jam turun bergantung pada pace pendaki.

Penulis dan suami menunaikan solat subuh di Masjid berdekatan. Kemudiannya kami semua berkumpul di kedai makan. Starting point di belakang kedai Goh Tong Jaya, laluan masuk di sebelah Tokong.

Trek pada mulanya mencanak. Tanah agak lembab tetapi masih boleh mendaki dengan lancar. Kami berhenti berehat seketikanya di Kawasan laluan tarmac.

Dari sini terasa jauh sungguh berjalan, laluan santai sahaja. Kami melalui pula kawasan bekas tapak kuari yang telah lama ditinggalkan. Pemandangan berkabus dan terasa nyaman.

Kami kemudiannya melalui pula satu kawasan yang penulis rasa mendung, sayu dan entahlah! Mainan perasaan sahaja agaknya. Banyak pokok tumbang di kawasan ini.

Tiba-tiba sahabat penulis, Kak Arie bersuara “Linda jadi ke pergi Gunung Ledang?”

Spontan penulis menjawap “Mestilah jadi kak, kan Tuan Puteri nak jumpa saya”

Di lokasi inilah penulis berselorah. Sempat pula tu bergambar di sini :p

Mujur sebut yang baik-baik. Waktu nak turun nanti ada kisah yang berlaku. Di hujung nanti penulis ceritakan :p

Kami kemudiannya melalui trek yang mula turun dan naik. Memanjat akar-akar dan adakala menempuh trek merah yang licin.

Cuaca sejuk dan menyegarkan sepanjang pendakian. Mossy yang cantik dan akar kayu yang unik!

 

Alhamdulilah, akhirnya kami sampai di kawasan Rock Garden. Penulis ada membawa bekalan makanan. Kami makan dahulu sebelum bergerak ke puncak.

Pemandangan di Rock Garden sangat cantik! Sukar untuk di ungkapkan. Ketenangan dan hembusan angin sepoi-sepoi bahasa. Sukar untuk merakam angle batuan yg cantik di sini. Ianya ternyata lebih cantik, lensa kamera pun tak mampu rakamkan kecantikan sebenar tempat ni!

Kami kemudiannya meneruskan perjalanan ke puncak. Tidak jauh sekitar 40 minit perjalanan. Kami kemudiannya bergambar di signboard Gunung Bunga Buah.

Oleh kerana cuaca mula mendung, kami memutuskan untuk turun segera. Kami menunaikan solat jamak di Rock Garden, Ketika itu hujan rintik mula turun. Ketika pulang, trek mula lembab dan licin. Kaki mula terasa penat. Kami harus keluar sebelum gelap!

Hinggalah kami hampir ke kawasan pokok tumbang tadi. Di mana penulis berselorah tentang Puteri. Sayup-sayup dari jauh nampak kelibat 3 susuk tubuh yang berbaju perak berwarna hijau. Penulis tidak nampak bahagian hadapan, hanya dari belakang. Ah! mungkin ilusi mata kerana keletihan. Penulis mula alihkan pandangan ke tempat lain. Bila lihat kembali, susuk tu masih ada. Penulis mula gugup. Percepatkan Langkah dan hanya diam sepanjang pendakian turun.

Alhamdulilah kami berjaya turun ke bawah sekitar 7pm. Pakaian berselut habis! Mujur ada kedai makan di situ. Kami minta pinjam air pancuran untuk menghilangkan selut.

Banyak pengajaran bila kita masuk ke hutan. Jaga kata-kata dan perbuatan. Setiap kali naik, penulis akan berdoa mohon perlindungan. Jika ada di sekeliling, minta ditutup hijab mata dari melihat perkara yang tidak sepatutnya. Mujur di beri ujian lihat yang cantik, jika sebaliknya, risau pengsan di situ juga haha.

“Kau ciptakan aku Ya Allah, kau tahu kekuatan dan kelemahanku, permudahkan urusan naik dan turun, naik dengan niat baik, selesai semua, ku turun dengan niat yg sama”. Alhamdulilah, setakat ni tidak pernah ketemu yang seram, minta dijauhkan huhu.

Itu sahajalah perkongsian penulis untuk trip ni. Kenangan di Gunung Bunga Buah. Tahun ni hanya beberapa misi saja sempat tercapai. Insyallah Covid reda boleh sambung semula misi. Oh ya! Ini adalah kawasan tanah persendirian, jadi risiko sepanjang mendaki adalah tanggungjawab sendiri.