Nama Bukit : Bukit Katak

Tarikh : 07/06/2019

Penulis memang suka terjah bukit yang unik. Ada kala lokasinya jauh dari tempat tinggal, tetapi dek perasaan ingin tahu yang menebal, penulis akan usahakan untuk sampai ke sana. Bukit Katak salah satu bukit yang pada pandangan penulis sangat unik. Melihat gambar yang dikongsikan rakan fb, buat penulis teruja!

Penulis pulang beraya di kampung halaman, Taiping, Perak dan pada hari raya ketiga, penulis memujuk suami untuk mendaki ke Bukit Katak. Setelah kaji trek, penulis rasa dengan ketinggian 9meter, insyallah tak ada masalah jika bawa anak mendaki. Kami bawa anak yang bongsu, berumur 3tahun.

Bukit Katak adalah sebuah bekas tapak kuari yang terbiar. Ianya mula tular sejak gambar keindahan pemandangan kawasan itu yang membentuk sebuah tasik luas dan kolam kecil dengan air berwarna biru kehijauan dimuat naik dalam Fb oleh sekumpulan peserta sukan lasak berbasikal, yang meneroka kawasan itu dalam satu ekspidisi.

Gambar pemandagan dari atas, hasil carian google

Pada hujung minggu, ramai yang datang untuk mendaki dan dijadikan kawasan fotografi pengantin dan meraikan graduasi. Kewujudan tasik dan kolam kecil yang terbentuk hasil peninggalan tapak kuari pada tahun 1970-an, menjadikan pemandangan di Bukit Katak ini sebagai ‘mini Danau Toba’.

Dari sumber Berita Harian, yang menuramah penduduk Kampung Guar Petai, Hasiah Ismail, 68, nama sebenar Bukit Katak ini sebenarnya adalah ‘Bukit Katoq’, yang bermaksud mata air yang turun dari bukit, namun panggilan itu berubah menjadi Bukit Katak terutama kepada pengunjung luar.

Untuk sampai ke sini, waze  Kampung Guar Petai, pastikan signboard sebelah kiri. Jalan terus, nampak kilang batu bata sebelah kiri. Jangan masuk arah kilang tu tapi ambil jalan kecil sebelah kolam air ke bendang. Laluan agak sempit dan sunyi. Jika hendak ke sini, pastikan dalam kumpulan dan keluar sebelum gelap. Terdapat Kawasan lapang di hadapan bukit, anda boleh parking kenderaan di situ.

Subhanallah! Keindahan Bukit Katak memang luar biasa. Kuasa Allah menciptakan setiap bahagian dengan ton warna berbeza. Itulah antara nikmat bila kita meneroka ciptaan Allah. Penulis bergambar dan menikmati pemandangan dari atas bukit, terasa kerdil! Alhamdulilah, hajat mendaki ke sini tercapai. Penulis kongsikan gambar-gambar kenangan sepanjang di sini. Jangan mandi manda pula di sini. Sangat berisiko. Ada kes mati lemas. Namapun tapak kuari, sekadar nikmati pemandangan sudah memadai­čśŐ

Jangan lupa masukkan Bukit Katak dalam wishlist pendakian anda! Insyallah berbaloi datang ke sini, untuk mereka yang suka berfikir mengenai setiap ciptaan yang Esa.