Tempat : Air Terjun 7 Puteri

Tarikh : 23/11/2020

Penulis terbaca perkongsian sahabat fb mengenai pendakian ke Air Terjun 7 Puteri. Memandangkan pkpb, penulis tidak boleh keluar dari daerah Gombak. Hutan Lipur Kanching dan Hutan Komanwel di Rawang masih di tutup.

Oleh kerana itu, penulis dah lama mereput dari melakukan aktiviti outdoor. Memandangkan tempat ni masih di daerah Gombak, penulis terus membuat carian di google. Jumpa beberapa info yang bagus.  Terus merancang untuk pergi bersama anak bujang.

Starting point bermula dari Tanah Perkuburan Sri Gombak. Masuk ke arah kanan dan anda boleh parking kereta di sekitar kawasan perkuburan.

Kemudian teruskan perjalanan dan melalui kawasan kebun sayur.

Teruskan laluan arah Kampung Tauhid

Pendakian bermula. Pada awalnya santai sahaja. Kawasan laluan bersimen. Menurut sahabat penulis, hari minggu ramai yang naik ke sini. Pastikan naik dalam kumpulan memandangkan ada cerita pendaki terbau ‘hamis’ dari hutan. Bimbang ada ancaman, eloklah mendaki dalam kumpulan 3-4 orang, lebih baik .

Kami meneruskan perjalanan. Hinggalah nampak kawasan pencawang elektrik. Berhenti seketika untuk bergambar.

Laluan tanah merah yang berbatu membuatkan kuku mula sakit.  Tambahan pula sudah lama tidak buat aktiviti outdoor 🤭

Sepanjang perjalanan, penulis sempat mengambil beberapa gambar flora dan fauna di sini. Cantik!

Kemudian nampak rumah buluh terbiar. Unik!

Ketika asyik mengambil gambar, penulis di sapa seorang wanita berbangsa cina. Sebelum tu kami naik bersama dari starting point. Beliau bersama seorang anak perempuan. Kami masing-masing mengambil gambar serangga.

Kemudiannya bergerak ke arah kolam ikan.

Di sini penulis terlalu asyik hingga tidak perasan wanita tersebut telah hilang dari pandangan. Cepat pula mereka bergerak 😅 maka tinggal lah penulis dan anak lelaki saja meneruskan perjalanan. Mujur kawasan laluan kami tu tidak terlalu sunyi.

Di sini jika ke kanan masuk kawasan kediaman Desa Tauhid. Terserempak dengan dua lelaki cina. Beliau beritahu supaya terus ke hadapan saja untuk ke air terjun.

Kami meneruskan perjalanan. Melalui kawasan tanah merah yang sudah mengalami gelongsoran tanah. Kemudiannya kawasan buluh yang terbakar dan reput.

Kami hanya mengikut arah air sungai di sebelah kanan. Berhenti bergambar dan melepaskan lelah.

Kami kemudiannya sampai ke penghujung jalan. Nak redah anak sungai bimbang sesat pula, memandangkan ada 2 laluan, ke kiri dan ke kanan. Teringat pesanan suami, kami pun berpatah balik.

Dalam perjalanan tu terserempak dengan 3 orang pendaki cina. Mereka pun baru pertama kali sampai ke sini. Jadi kami sepakat untuk redah saja.

Rupanya dari penghujung laluan kami tadi, dah tak jauh nak ke air terjun. Hanya perlu seberang sungai dan ambil arah kiri, dalam 3minit sampai air terjun!

Laluan ke atas ni mencanak sedikit Taraaaaa kami dah selamat sampai 😁

Ada yang mandi manda. Kami memilih untuk berehat dan layan air terjun sahaja
Bujang mama makan buah epal. Asalnya dia berhajat nak mandi, tetapi bila nampak orang dah ramai, katanya tak apa lah. Covid! 😅

Kami berehat sekitar 15minit dan kemudiannya turun berkumpulan.

Alhamdulilah, misi kali ni berjalan lancar. Minggu depan kami cadang nak ke Air terjun Sg Pisang pula 😁