Nama Gunung : Gunung Santubong
Ketinggian : 810M
Tarikh: 3/10/2020
Gunung Santubong bukanlah gunung yang tertinggi di Sarawak, kisah lagenda yang diceritakan sejak turun temurun menjadikan gunung ini terkenal berbanding gunung lain di negeri berkenaan. Ia terus menjadi satu lagi destinasi impian untuk menambah koleksi gunung di daki dalam kalangan pendaki. Tertarik dengan cabaran yang bakal ditempuh di gunung ini, penulis mendaftarkan diri dengan GOGO Sondol Hikers. Penulis mengajak sahabat, Kak Ita untuk menjayakan misi menakluk Santubong.
Trip bulan April 2020 terpaksa di tangguhkan kerana arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Alhamdulilah pada 2hb Oktober kami selamat mendarat di Kuching, Sarawak. Dalam pilihan random di airport, penulis terpilih buat ujian swab :p aduhai sampai mengalir air mata buat ujian ni
Hari kami tiba tu hujan pada waktu petang hingga malam. Jika esok masih hujan, misi mungkin ditangguhkan pada hari ketiga. Alhamdulilah, pagi tu cuaca elok. Dari kejauhan kami nampak gunung Santubong sedang berselimut, seolah memanggil-manggil kami naik. Subhanallah! Cantik sungguh
Kami masuk ke pintu utama Taman Negara Santubong kemudiannya mendaftar di kaunter pendaftaran. Selesai mendaftar dan bacaan doa, kami memulakan pendakian.
Pendakian pada mulanya lebih kepada aktiviti berjalan apabila kami melalui denai yang landai dan melintasi jeram kecil.
Perjalanan kami lancar berikutan trek disediakan dengan baik oleh pihak pengurusan. Pada setiap hentian disediakan papan tanda yang menunjukkan peta trek. Malah, pada batang pokok juga ditandakan dengan cat berwarna merah sebagai panduan pendaki menjejak trek ke puncak gunung. Dari starting point untuk sampai ke puncak kita akan melalui hentian F1-F15 dan 18 anak tangga. Di hentian F5 ada mini waterfall yang cantik. Bolehlah berhenti seketika berehat dan bergambar.
Pendakian dari F1-F7 masih di kira okay. Mengambil masa lebih kurang sejam 20 minit untuk sampai ke F7. Hentian F7 merupakan persimpangan trek dari pejabat renjer dan trek Bukit Puteri. Menurut GOGO, trek Bukit Puteri merupakan tanah persendirian dan jika anda memilih untuk melalui trek ini dan berlaku apa-apa kecemasan ianya adalah atas tanggungjawab sendiri (sebelum sampai hentian F7).
Cabaran sebenar bermula dari hentian F7. Kami perlu mendaki laluan yang banyak akar dan curam. Setiap pendaki menyusun langkah berhati-hati kerana laluan terbabit berselirat dengan akar pokok yang berselang-seli dengan batu-batuan berlumut yang licin. Hentian F8 disediakan kerusi dan meja. Bolehlah melepak sekejap hilangkan lelah.
Kekuatan mental dan fizikal kami diuji sehingga tahap maksimum sebaik melepasi hentian F9 kerana laluan berbatu menegak sehingga 90 darjah! Bagi meneruskan pendakian, kami perlu memanjat tangga. Sebanyak 18 tangga disediakan pada cerun yang ada kalanya mencecah 15 hingga 20 meter tinggi sehingga tiba di hentian terakhir F15.
Kami di kira bertuah kerana dapat menggunakan tangga bomba ini, di mana pendakian lebih selamat berbading tangga monyet atau ‘monkey ladder’ yang telah digunakan berpuluh tahun lamanya. Dengan adanya 18 tangga bomba yang baharu, memudahkan lagi aktiviti pendakian para penggemar aktiviti mendaki gunung tempatan dan luar negara. Tangga baru ni ditukar pada tahun 2018.
Penulis kongsikan gambar khazanah alam yang sempat dirakamkan di Gunung Santubong.
Kami tiba di puncak sekitar jam 11pagi. Bergambar dan menikmati pemandangan dari atas. Sebak hati penulis. Alhamdulilah, misi Santubong berakhir dengan baik. Dengan cuaca yang elok, dipermudahkan pendakian naik dan turun.
Terima kasih buat GOGO dan guide kami Saudara Nik, Masri dan Dayang yang sentiasa memberikan informasi dan kata-kata semangat di sepanjang trip ini. Begitu juga sahabat baru yang baik-baik belaka. Trip ni antara pendakian yang manis buat penulis, yang akan dikenang sepanjang misi pendakian.
Petua jika ingin dapatkan permit sejauh ini, jangan lupa beli jiwa yang tersayang :p
Buat para pendaki yang ingin melihat keindahan pemandangan dari puncak Gunung Santubong, persediaan mental dan fizikal yang cukup penting bagi mengharungi perjalanan yang penuh liku dan cabaran. Namun ia sangat berbaloi apabila tiba di puncak. Datanglah menawan Santubong, walaupun trek terasa seksa, tetapi kerinduan tu luar biasa!
